Selasa, 18 Januari 2011

HUKUM

Hukum jika salah

Hukum jika betul

Kadangkala hukum yang menyakitkan

Adalah untuk membahagiakan

Hukum Wajib, Makruh, Sunat dan Harus

Melatari setiap yang berlaku

Hukuman Tuhan paling ditakuti

Balasan akhirat yang sering diingati

Berfikir saat berbicara

Takut terjatuh hukum yang salah

Hukum dari fikiran dangkal sang insan

Yang cetek amat

Yang tak mampu menanggung berat maksud hakiki

Yang tak memahami erti

Lalu membuta-tuli hukuman diberi

Diri yang menanggung yang menderita sendiri

Hukumlah dia !

Dia itu salah !

Juga dia itu sesat !

Nah, mudah sekali lidah menjatuhi

Hukuman lancar meluncur pergi

Tidak disepadu dengan iman di hati

Lantas wujud hukum mirip dengki !

Kasihan…kasihan…

Tanjung Malim

18 Januari 2011

Isnin, 17 Januari 2011

Sebilion terima kasih Malaysia!

Tempat : Bandaraya Melaka

Masa :

Oleh : Papan Iklan

Ulasan : Pihak-pihak peniaga semakin kreatif untuk menarik perhatian para pembeli. Pemilihan perkataan “sebilion’ adalah amat bertepatan dan kuat untuk memastikan setiap orang untuk berasa teruja. Hal ini kerana ucapan seperti ini adalah lain daripada yang lain.

Jumaat, 14 Januari 2011

Pastikan tandas di’flush’ selepas menggunakannya.

Tempat : Tandas Perpustakaan Tuanku Bainun

Masa :

Oleh : Notis Peringatan

Ulasan : flush adalah kosa kata bahasa Inggeris. Dalam bahasa Melayu, maksudnya adalah pam. Persoalannya, adakah salah untuk menggunakan ‘dipam’ untuk menggantikan ‘di’flush’?. Agak pelik dalam situasi ini kerana pihak perpustakaan yang merupakan sebuah intitusi gedung ilmu, apakah tidak ada buku-buku tatabahasa didalamnya yang mengatakan tentang peraturan menggunakan bahasa Melayu yang betul.

Khamis, 13 Januari 2011

Bulih bah kalu kau

Tempat : Sekitar Kampus

Masa :

Oleh : mahasiswa/wi pelbagai kaum

Ulasan : perkataan ini lahir daripada masyarakat yang berasal daripada Sabah dan kawasan sekitarnya. Daripada sudut makna, ayat tersebut seakan–akan ayat untuk memotivasikan rakan-rakan mereka. Sekiranya disebut dengan laju pula, bunyi perkataan ini akan kedengaran seperti humor atau agak kelakar

Rabu, 12 Januari 2011

Mantap man

Tempat : Sekitar Kampus

Masa :

Oleh : mahasiswa/wi pelbagai kaum

Ulasan : Mantap man (men) adalah gabungan perkataan ‘mantap dan lelaki (man)’. Gabungan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris ini telah menjadi kebiasaan dan akan dituturkan secara automatik apabila penuturnya mengalami perasaan kagum dan teruja kepada sesuatu perkara atau seseorang.

Selasa, 11 Januari 2011

Gitu, gini

Tempat : Sekitar Kampus

Masa :

Oleh : mahasiswa/wi pelbagai kaum

Ulasan : Perkataan ini secara spontan akan diucapkan oleh mahasiswa sekiranya terdengar cerita tentang sesuatu yang agak hangat. Contohnya cerita tentang pensyarah yang cerewet. Secara automatik, perkataan tersebut dikeluarkan. Hal ini mungkin disebabkan oleh bunyi-bunyian suku kata perkataan ini mudah dan lancar untuk disebutkan. Anehnya, perlakuan seperti ini begitu cepat berkembang dan semakin ramai yang turut terbiasa untuk mengucapkannya.